Friday, October 18, 2019

Kesimpulan

Makanan yang berkhasiat merupakan asas kepada kesihatan yang baik. Banyak manfaat yang boleh diperoleh dengan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat. Hal ini kerana, makanan yang berkhasiat dapat memberi tenaga serta dapat mengelakkan diri daripada penyakit kronik. Amalan pemakanan sihat merupakan faktor yang penting ke arah kesihatan sekeluarga dan sepatutnya dipupuk dari rumah.






Faktor yang Mempengaruhi Pemilihan Makanan yang Berkhasiat

Pengambilan makanan untuk mengawal kesihatan yang baik bergantung pada keperluan fisiolgi setiap individu seperti umur,jantina,saiz badan,aktiviti yang dijalankan dan tahap kesihatan. Contohnya, kanak-kanak dan remaja memerlukan nutrien lebih untuk tumbesaran mereka.

Mereka yang berpendidikan tinggi cenderung untuk memikirkan kepentingan dalam pemakanan semasa pemilihan makanan. Tahap pengetahuan mereka menjadikan mereka lebih prihatin untuk mengekalkan kesihatan dengan bijak. Pendidikan ini mempengaruhi kualiti dan kuantiti makanan yang diambil.

Faktor kewangan juga merupakan faktor yang mempengaruhi secara langsung dalam pemilihan makanan mengikut kemampuan masing-masing. Kebiasaanya, keluarga yang berpendapatan rendah akan memilih makanan yang berharga murah manakala bagi yang berpendapatan tinggi lebih mementingkan kualiti semasa pemilihan makanan.

Persekitaran juga mempengaruhi pemilihan makanan seseorang.Jenis  makanan yang dipilih juga didorong oleh persekitaran mereka. Contohnya, mereka yang lahir dalam keluarga yang mementingkan kualiti makanan.


Thursday, October 17, 2019

Cara untuk Mengamalkan Pemakanan yang Berkhasiat


Amalan pemakanan yang berkhasiat perlulah diterapkan dalam diri setiap individu sama ada yang telah dewasa ataupun yang masih kecil. Hal ini penting bagi mengekalkan keseimbangan nutrisi dalam badan dan untuk menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat dan dijauhkan daripada penyakit-penyakit yang berbahaya. Jadi bagaimana untuk mengekalkan pemakanan sihat?

1.    Mulakan hari dengan sarapan yang penuh nutrisi

Sarapan sangat penting untuk tindak balas sebagai pemangkin tubuh badan dan minda kerana ia menjadi titik permulaan kepada metabolisma kita. Bersarapanlah dengan makanan yang dapat menguatkan otot daripada sumber protein yang baik.

2.    Baca label pada makanan

Kita sepatutnya sedar bahawa kandungan bahan dalam makanan kita sangat penting untuk tubuh badan sihat. Kebiasaannya, pengilang akan menyembunyikan sejumlah besar gula ataupun lemak tidak sihat dalam makanan segera. Sepatutnya, membaca kandungan label pada makanan dahulu sebelum bertindak membeli.

3.    Melebihkan buah-buahan dalam pemakanan

Buah merupakan sumber karbohidrat yang diperlukan oleh otak dan sumber tenaga untuk tubuh. Makan buah seperti epal yang penuh fiber, pisang yang penuh potassium, atau buah beri yang penuh dengan anti-oksida.

4.    Kurangkan kandungan lemak, gula dan garam dalam makanan

Lemak, garam dan gula adalah kelas makanan yang penting bagi perkembangan dan tumbesaran. Namun, kelas makanan ini hanyalah diperlukan dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

https://www.youtube.com/watch?v=Gmh_xMMJ2Pw


Kesan Tidak Mengamalkan Makanan Berkhasiat

Pemakanan yang tidak seimbang akan menjejaskan aktiviti harian kita untuk menjalani sebuah kehidupan yang sihat, aktif dan menyeronokkan. Dalam jangka masa yang pendek, pemakana yang tidak sihat akan menyebabkan kita berada dalam keadaan tekanan, keletihan and lesu. Oleh itu pemakanan yang seimbang memang baik dalam menjamin kesejahteraan hidup kita dan boleh mengelakkan kita daripada sebarang masalah komplikasi kesihatan seperti :


1.  Obesiti


Masalah obesiti berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang secara berterusan sama ada makanan ringan yang berlebihan atau cara pemakanan yang tidak stabil seperti makan makanan yang berat pada lewat malam serta pengambilan minuman yang berkarbonat tinggi atau terlalu manis.

2. Tekanan darah tinggi


Ekoran daripada suka mengamalkan pemakanan yang kurang sihat, sudah pasti pengambilan sayur dalam makanan seharian kita kurang. Disebabkan itu, pengambilan natrium dan garam yang tinggi dan pengambilan kalium yang rendah dalam pemakanan kita akan mendorong kepada penyakit darah tinggi.

3.     Kemurungan


Pengambilan gula serta kafein yang berlebihan boleh menyebabkan tahap glukos kita menurun dan ekoran daripada itu, akan menganggu mood serta pola tidur kita dan akhirnya mendorong kepada kemurungan.

4. Malnutrisi


Kekurangan nutrisi tertentu dalam makanan. Malnutrisi akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti anemia, kwasyiorkor, skurvi dan juga riket.

5. Kwasyiokor


Disebabkan oleh kekurangan sumber protein dalam makanan. Mempunyai gejala seperti perut buncit, pertumbuhan badan serta otak yang terencat, hilang selera makan serta badan akan menjadi lemah.

6. Skurvi


Disebabkan oleh kekurangan vitamin C. Hal ini akan menyebabkan seseorang individu menjadi lemah dan sentiasa mengalami sesak nafas, gusi membengkak serta mudah berdarah.

7. Osteoporosis


Berlaku akibat daripada pengurangan jisim tulang kerana pengurangan pengambilan kalsium yang tidak mencukupi. Kekurangan kalsium akan menyebabkan tulang menjadi nipis serta rapuh dan mudah patah.

8. Sakit jantung dan strok


Tahap kolestrol yang tinggi akan menyebabkan dinding arteri serta salur darah menjadi semakin sempit dan akhirnya mendorong kepada serangan jantung serta strok.


Kepentingan Makanan Berkhasiat


1. Proses pembesaran

Makan makanan yang seimbang amat penting bagi kanak-kanak dan remaja yang sedang dalam proses pembesaran. Hal ini kerana, makanan seimbang membekalkan zat - zat yang mencukupi yang diperlukan oleh tubuh badan ketika sedang membesar seperti karbohidrat, protein, mineral dan vitamin.

2. Membekalkan tenaga kepada badan

Makanan seimbang dapat membekalkan tenaga yang mencukupi kepada badan untuk menjalani aktiviti seharian. Selain itu, zat - zat seperti karbohidrat, protein dan lemak yang terkandung di dalam makanan yang sihat penting untuk membekalkan tenaga kepada sel - sel tisu badan dalam proses pemulihan dan pembaharuan sel.

3. Membantu dalam meningkatkan imun sistem badan

Zat - zat di dalam makanan seimbang memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan kita. Sebagai contoh,vitamin A, C dan E bertindak sebagai antioksidan membantu dalam melindungi sel badan daripada toksin berbahaya. Manakala, vitamin B membantu dalam pembaharuan sel dengan menukarkan makanan kepada tenaga.

4. Mengelak daripada penyakit kronik

Pengamalan makan makanan yang tidak seimbang boleh meningkatkan risiko dan potensi seseorang itu untuk mendapat pelbagai penyakit kronik seperti diebetes, penyakit jantung dan sebagainya. Sebagai contoh, makanan segera seperti kentang goreng, nuget dan sebagainya mempunyai kandungan sodium yang tinggi dimana ianya boleh membawa kepada risiko sakit jantung.

5. Kestabilan emosi

Gaya pemakanan juga boleh mempengaruhi kestabilan emosi seseorang. Hal ini kerana terdapat sesetengah makanan yang berkhasiat seperti daging, brokoli dan makanan laut mengandungi zat - zat seperti zat besi dan asid folic yang dapat membantu dalam mengawal emosi malahan, jika kekurangan zat ini boleh menyebabkan mudah tertekan dan mengakibatkan berisiko untuk kemurungan.




Piramid makanan

Dalam memilih makanan yang sihat dan seimbang, piramid makanan merupakan satu panduan yang membantu mengkelaskan jenis makanan yang diperlukan oleh tubuh badan. Kita dinasihatkan mengikuti piramid makanan bagi memastikan badan mendapat nutrisi yang cukup. Piramid makanan mempunyai gabungan 5 jenis kumpulan makanan yang diletakkan pada 4 aras yang berbeza. 


  • Karbohidrat

Jenis makanan karbohidrat adalah paling penting dan perlu diambil dalam jumlah banyak. Ia membekalkan tenaga yang diperlukan oleh badan dan mengandungi kandungan serat yang lebih tinggi.  Contoh makanan seperti nasi, gandum, ubi-ubian dan sebagainya.

  • Vitamin

Sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi vitamin A, C, D, E, K yang membantu menguatkan ketahanan terhadap penyakit (imuniti) serta dapat mencegah penyakit kronik seperti penyakit jantung, buah pinggang dan kanser. Sebagai contoh, sayuran berdaun hijau seperti ulam dan buahan iaitu epal, tembikai, oren dan lain-lain.

  • Protein

Protein yang terkandung dalam makanan berfungsi merangsang pertumbuhan dan penggantian tisu dan membina otot badan. Antara contoh makanan yang mengandungi protein ialah ayam, daging, ikan dan sebagainya.

  • Lemak

Lemak penting kepada manusia kerana ia membekalkan tenaga bagi menjalankan aktiviti harian. Namun, makanan berlemak perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Pengambilan yang berlebihan akan meningkatkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan lain-lain. Contoh makanan yang berlemak ialah minyak masak, coklat, mentega dan seumpamanya.

  • Zat mineral

Zat mineral dalam makanan berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan oleh tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Sebagai contoh zat mineral ialah sodium, zat besi, dan sebagainya.


Tuesday, October 15, 2019

MAKANAN BERKHASIAT

 Pengenalan 

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit. Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana cara pemakanan yang tidak sempurna dan kurang mengambil makanan berkhasiat. Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan.

Apa itu makanan berkhasiat?


Makanan berkhasiat dapat didefinisikan makanan yang mengandungi nutrisi yang terdiri daripada karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral pada kadar yang betul.
Makanan berkhasiat juga dikenali makanan yang paling semula jadi dan bukan makanan yang telah diproses sama ada makanan kaya pengawet, banyak gula, dan tinggi lemak jahat atau kolesterol yang terdapat dalam sesetengah lemak tepu atau lemak trans.

Featured Post

Kesimpulan Makanan yang berkhasiat merupakan asas kepada kesihatan yang baik. Banyak manfaat yang boleh diperoleh dengan mengamalkan ga...

Popular Post